Mak nyah parah dibelasah

Wrote by Unknown on Rabu, 24 Julai 2013



KUANTAN - "Kejadian berlaku sekelip mata, mereka bukan sahaja memijak-mijak badan saya, malah menyerang menggunakan pisau, besi dan kayu hoki," kata seorang pembantu dapur yang mendakwa diserang empat lelaki di Jalan Bukit Ubi, 4 Julai lalu.

Mangsa seorang mak nyah warganegara Thailand yang hanya mahu dikenal sebagai Lily, 33, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 pagi semasa dia bersama abangnya, Mr Maya Eh pulang dari sebuah kedai makan berhampiran kediaman mereka.


Menurutnya, tiba-tiba datang empat pemuda menaiki dua kereta jenis Proton Wira berhenti dan terus menyerangnya tanpa belas kasihan.

"Masa itu saya sedang berjalan pulang ke rumah, tiba-tiba sahaja saya dah tersungkur di atas tanah dan kepala terasa sakit sangat.

"Bila terasa air panas (darah) mengalir ke muka baru saya sedar saya telah dihentak dengan kuat menggunakan objek keras, " katanya kepada Sinar Harian.

Dia ditemui semasa menerima kunjungan Adun Teruntum, Sim Chong Siang dan wakil Kelab Sahabat, Drug Invention Centre, Malaysia Cawangan Pahang.

Lily berkata, akibat ketakutan dan tidak berdaya, dia tidak berupaya menyelamatkan diri dan hanya membiarkan diri terus dipukul bertubi-tubi.
Katanya, abangnya yang berada di tempat kejadian juga tidak mampu berbuat apa-apa selain merayu kepada keempat-empat lelaki terbabit supaya berhenti memukulnya, namun mereka tidak peduli, malah seolah-olah mahu membunuhnya.

"Selepas puas mereka membelasah saya, saya ditinggalkan begitu sahaja. Dalam keadaan berlumuran darah, abang saya terus minta pertolongan kawan terdekat untuk menghantar saya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.

“Selama tiga hari saya berada di unit rawatan rapi kerana tidak sedarkan diri dan menerima 73 jahitan di kepala, selain luka di kening kiri. Terdapat juga kesan tendangan di dada serta bengkak-bengkang di beberapa bahagian badan,” katanya.

Lily berkata, dia langsung tidak mengenali kumpulan lelaki terbabit yang berusia lingkungan 20-an itu, malah tidak pernah berurusan dengan mereka.

Katanya, kejadian itu membuatkan dia trauma dan ingin pulang ke Thailand walaupun masih boleh menetap di sini sehingga hujung tahun ini.

“Sekarang saya susah nak bercakap, sebelah kanan badan pula rasa kebas dan selalu pening kepala. Saya juga tidak boleh berdiri dan duduk lama-lama,” katanya.

{ 0 Comments... read them below or add one }